Dari gajah putih, Laman Changkat Jering jadi mercu tanda
BUKIT GANTANG - Setelah terbengkalai lebih 10 tahun, akhirnya sebuah dataran perniagaan dipanggil Laman Changkat Jering, di sini kembali dimajukan demi kemudahan dan manfaat penduduk pada masa hadapan.
Inisiatif mengkomersilkan semula dataran perniagaan bernilai lebih RM2 juta itu sekaligus menunaikan janji manifesto pilihan raya dikemukakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafis Syed Abu Fasal.
Pernah dianggap projek 'gajah putih', Syed Abu Hussin dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) membelanjakan RM150,000 bagi melaksanakan kerja menaik taraf, baik pulih dan menganjurkan karnival promosi pembukaan dataran perniagaan itu bagi menarik orang ramai mengunjunginya.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Talib Hafis Syed Abdul Fasal berkata, Syed Abu Hussin sememangnya berhasrat memajukan semula Laman Changkat Jering jika dipilih sebagai wakil rakyat dan terus komited melaksanakannya setelah menang.
Antara inisiatif awal dilakukan adalah dengan mengadakan perbincangan bersiri dengan pihak pengurusan asal dataran niaga itu, Koperasi Pasar Minggu Changkat Jering, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Pejabat Daerah dan Tanah Taiping, Larut dan Matang.
"Laman Changkat Jering pada asalnya dibina bagi membantu peniaga Pasar Minggu Changkat Jering berniaga di lokasi tapak lebih selesa, namun ditolak mereka yang tidak mahu berpindah dan bertegas untuk kekal di tapak niaga asal.
"Lagipun golongan peniaga berkenaan hanya berniaga di lokasi tapak asal seminggu sekali, jadi MPT memutuskan untuk membuka tawaran tender pengurusan Laman Changkat Jering bagi mengelakkan kerugian jika lokasi itu terus terbengkalai,"katanya kepada media selepas program penyampaian zakat Kembali Ke Sekolah dan santai hijrah selebriti anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini, malam tadi.
Dalam majlis itu, Syed Abu Talib yang mewakili Syed Abu Hussin menyerahkan sumbangan set kelengkapan persekolahan bernilai RM150 kepada 170 penerima terdiri pelajar asnaf Parlimen Bukit Gantang.
Syed Abu Talib berkata, sebuah syarikat tempatan berjaya mendapatkan konsesi menguruskan Laman Changkat Jering dan satu inisiatif penganjuran karnival promosi pembukaan dataran niaga itu sempena ambang tahun baharu dianjurkan bagi menarik kehadiran pengunjung.
Katanya, pihaknya bersyukur sambutan orang ramai menghadiri karnival dianjurkan dan merasai sendiri pengalaman di Laman Changkat Jering amat menggalakkan dan berharap momentum itu terus berkekalan.
"Ketika ini, pihak pengurusan memaklumkan kesemua 20 lot kedai di dataran niaga itu sudah penuh, cuma tinggal satu lot perniagaan bersaiz luas untuk kewujudan pasaraya masih kosong di samping sebahagian tapak pameran dan karnival.
"Selain itu, pihak pengurusan bersedia menambah lot tapak pameran tetap kepada peniaga berminat, di samping menggalakkan aktiviti penganjuran program oleh mana-mana pihak kerana Laman Changkat Jering turut dilengkapi pentas," katanya.
Syed Abu Talib tidak menolak kemungkinan Laman Changkat Jering mampu menjadi pusat perniagaan setempat terkemuka setanding Pasar Siti Khadijah di Kelantan jika kesemua pihak memainkan peranan memajukannya.
Pihaknya percaya dataran niaga yang pernah dianggap 'mati' suatu ketika dahulu mampu maju sekiranya para peniaga memastikan produk niaga dijual berkualiti.
"Saya dimaklumkan pihak pengurusan turut memanggil semua penjaja tidak berlesen yang berniaga di tepi jalan berhampiran supaya masuk berniaga di Laman Changkat Jering.
"Pada ketika ini, Syed Abu Hussin berjaya membantu mengubah wajah Laman Changkat Jering, cuma ada beberapa perkara lain yang masih perlu diberi perhatian seperti isu kekurangan tempat parkir dan hiasan keceriaan landskap," katanya.
Mewakili Syed Abu Hussin, beliau turut berterima kasih kepada MPT dan PDT Taiping, Larut dan Matang kerana sentiasa menyokong usaha memajukan kembali Laman Changkat Jering.
"Saya ingin berkongsi aspirasi Syed Abu Hussin mengharapkan Laman Changkat Jering mampu menjadi mercu tanda baharu sekaligus membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk di sini pada masa hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!