Peperiksaan awam mungkin tangguh jika IPU 300 dan ke atas
BANGI - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak menolak kemungkinan peperiksaan awam atau berpusat di seluruh negara akan ditangguh sekiranya ada sesetengah kawasan mencapai tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 300 dan ke atas.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Ahmad Rafee Che Kassim berkata, ini kerana kesihatan dan keselamatan pelajar perlu diutamakan.
Menurutnya, peraturan itu sememangnya terdapat dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani jerebu ketika ketika peperiksaan.
"SOP kita (ketika peperiksaan) sama seperti penutupan sekolah iaitu apabila IPU mencecah 200 maka sekolah itu ditutup, namun jika ada peperiksaan awam atau peperiksaan berpusat maka peperiksaan itu akan diteruskan sehingga ke tahap 300.
"Namun begitu sekiranya IPU mencapai tahap 300 dan ke atas yang membawa mudarat kepada murid, maka keutamaannya adalah kepada keselamatan murid. Jadi kita akan menangguhkan peperiksaan tersebut.
"Memandangkan ia peperiksaan awam yang diadakan serentak di seluruh negara, jadi jika ada sesetengah kawasan yang capai IPU 300 maka peperiksaan di seluruh negara akan ditangguhkan," katanya pada sidang media khas berkaitan jerebu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Ahmad Rafee bagaimanapun berharap agar penangguhan peperiksaan awam tidak berlaku bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual.
"Sama-samalah kita doakan supaya keadaan jerebu ini semakin baik supaya kita tidak perlu menangguhkan peperiksaan," katanya.
Sementara itu, masalah jerebu di Semenanjung Malaysia hari ini tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara berbanding semalam, dengan beberapa lokasi masih menunjukkan bacaan IPU di tahap kurang sihat.
Bacaan IPU di sekitar ibu negara sehingga jam 7 pagi tadi masih berada pada tahap tidak sihat dengan Batu Muda dan Cheras, masing-masing mencatat bacaan 133 dan 142, manakala di Putrajaya (141).
Di Selangor, empat lokasi turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat membabitkan Petaling Jaya (127), Shah Alam (107), Banting (118) dan Johan Setia, Klang (138).
Sementara itu, dua lokasi di Negeri Sembilan juga mencatat IPU tidak sihat pagi ini iaitu Nilai (137) dan Seremban (118) yang memperlihatkan peningkatan berbanding bacaan pada jam 9 malam tadi.
Di Johor, satu lokasi masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu di Segamat (116).
Bagaimanapun, keadaan jerebu di Sarawak dilihat semakin baik apabila bacaan IPU di tujuh lokasi setakat jam 8 pagi ini menunjukkan penurunan namun masih berada pada tahap tidak sihat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!