Kamera badan elak penjawat awam teraniaya: Cuepacs

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUCHING - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik cadangan kerajaan Pusat melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguatkuasa seperti polis, imigresen dan kastam di negara ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya berpendapat pelaksanaan cadangan itu juga akan memberi sedikit jaminan kepada anggota penguatkuasa terbabit yang juga penjawat awam daripada menjadi mangsa penganiayaan.

"Selama ini anggota penguatkuasa kita itu ada teraniaya dan dituduh termasuk anggota polis yang kononnya mereka menyeksa banduan hingga mati dalam sel tahanan umpamanya.

"Begitu juga mereka (pegawai penguatkuasa) yang berada di pintu sempadan, mereka yang berhadapan dengan kemasukan barang-barang dan sebagainya yang mungkin ada ancaman," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan Cuepacs Sarawak di pejabatnya di Jalan Bamflyde di sini hari ini.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguatkuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku pegawai termasuk rasuah.

Azih berkata, Cuepacs bagaimanapun meminta kerajaan Pusat terlebih dahulu melaksanakan penggunaan kamera badan itu secara perintis kerana khuatir teknologi itu mungkin mempunyai kelemahannya.

"Kami bimbang cips yang ada dalam kamera badan disalahguna oleh pihak tertentu untuk mengesan di mana penguatkuasa kita berada dan ini boleh membahayakan anggota kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azih berkata, Cuepacs merayu kerajaan supaya tidak menutup kesemua 33 institut latihan di bawah Kementerian Kesihatan supaya ia terus boleh berfungsi sebagai pusat untuk melahirkan tenaga kerja terlatih dan pakar bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, menurutnya, pihaknya difahamkan terdapat sehingga sembilan institut terbabit sudahpun ditutup setakat ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!