Dataran Tahrir kembali dilanda protes antikerajaan
KAHERAH - Satu siri protes melanda Kaherah dan beberapa bandar lain di Mesir semalam bagi menuntut pengunduran Presiden, Abdel Fattah al-Sisi yang kini memegang jawatan itu untuk penggal kedua selepas Pilihan Raya Presiden pada April lalu.
Pasukan polis bagaimanapun bertindak segera menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan tersebut yang jarang berlaku sejak Mesir melarang bantahan seumpama itu di bawah undang-undang yang diluluskan selepas bekas Presiden, Mohammed Mursi digulingkan pada 2013.
“Seramai lima penunjuk perasaan ditahan dan polis turut melepaskan gas pemedih mata ke arah kumpulan terbabit di sekitar Dataran Tahrir di ibu negara yang pernah menjadi medan kebangkitan rakyat ketika Arab Spring pada 2011.
Rakaman video protes itu yang memaparkan penunjuk perasaan melaungkan slogan juga dikongsi di media sosial dengan menggunakan hashtag #Tahrir_Square yang kini menjadi trending.
Demonstrasi itu diadakan selepas ahli perniagaan yang hidup dalam buangan, Mohamed Ali menggesa penggulingan al-Sisi.
Sejak awal bulan lalu, kontraktor binaan yang kini bergelar aktivis politik itu telah memuat naik video dari Sepanyol menuduh al-Sisi dan tentera terlibat dengan rasuah secara berleluasa.
Minggu lalu, al-Sisi bagaimanapun menafikan tuduhan itu dalam satu persidangan pemuda dan bekas ketua tentera itu dengan yakin menyatakan beliau ‘jujur dan setia’ kepada tentera dan rakyat negara tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!