Tidak pamer harga: Empat peniaga dikompaun
HULU SELANGOR - Akibat enggan mempamer tanda harga, empat peniaga dikenakan tindakan kompaun dalam operasi mengejut dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Pasar Awam Rawang hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Hulu Selangor, Ahmad Zamri Che Long berkata, dalam operasi tersebut pihaknya menjalankan pemeriksaan tanda harga dan alat timbang digunakan peniaga di pasar terbabit.
Menurutnya, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di premis yang menjual topeng muka.
“Hasil pemeriksaan, beberapa peniaga didapati tidak meletakkan tanda harga barangan yang dipamerkan untuk jualan.
“Empat peniaga dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM400 dan kesemua mereka menjelaskannya,” katanya.
Beliau berkata, operasi tersebut disertai enam pegawai KPDNHEP Kuala Kubu Baru dan enam anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!