'Kami tak tolak pembangunan'

Pemilik tanah Kampung Baru tidak tolak pembangunan
Gambar kecil: dari kiri Yusnita, Shamlan, Siti Zakiah
Pemilik tanah Kampung Baru tidak tolak pembangunan Gambar kecil: dari kiri Yusnita, Shamlan, Siti Zakiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik dan waris tanah di Kampung Baru bukan membantah pembangunan kawasan itu, sebaliknya mereka tidak bersetuju dengan harga RM850 satu kaki persegi yang ditawarkan oleh kerajaan.

Kadar itu diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad pada sesi Town Hall Pembangunan Kampung Baru di Dewan Perdana Felda di sini semalam.

Pesara kerajaan, Siti Zakiah Othman, 66, berkata, tawaran harga itu pertama kali dimaklumkan kepada pemilik dan pewaris sepanjang cadangan pembangunan Kampung Baru itu dibincangkan sejak tahun 80-an.

"Saya setuju pembangunan kerana nak sangat melihat Kampung Baru dimajukan kerana keadaannya sekarang sangat buruk.

"Cuma kalau boleh kadar tawaran itu dinaikkan dengan minimum RM1,000 setiap kaki persegi kerana kadar yang diumumkan oleh menteri terlalu rendah," katanya kepada Sinar Harian.

Pemilik tanah Kampung Baru, Shamlan Yahaya, 60, berkata, beliau berharap ada kata putus mengenai pembangunan Kampung Baru itu dicapai pada sesi town hall kerana telah berlarutan dalam tempoh yang terlalu lama.

"Dalam soal pembangunan melibatkan projek yang besar, pemilik tanah dan kerajaan perlu berganding bahu mencari kata sepakat demi generasi masa depan.

"Harga ditawarkan rendah tapi kalau kadarnya dinaikkan bimbang pula jika kos projek menjadi terlalu tinggi dan tak mampu dilaksanakan. Biarlah keadaannya menang buat kedua belah pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, katanya, pembangunan yang dicadangkan diharapkan tidak hanya memfokuskan kepada kemudahan orang muda sebaliknya kemudahan kepada warga emas yang mahukan mahukan surau dan dewan tidak keciciran.

Sementara itu, pekerja swasta, Yusnita Md Yunos, 42, pula berkata, walaupun harga ditawarkan rendah namun mereka sekeluarga tiada pilihan lain untuk menerimanya.

"Sudah tiada pilihan kerana tidak selesa dengan kebanjiran warga asing dan lokasi rumah terletak berhampiran dengan LRT Putra dan Saloma Link. Jika tak terima tawaran kami akan terhimpit dengan pembangunan dan akhirnya terpaksa keluar juga.

"Kalau boleh saya minta harganya biarlah munasabah, tawaran itu dinaikkan antara RM1,000 sehingga RM1,500 kaki persegi," katanya.

Khalid pada sesi Town Hall itu menjelaskan kadar ditawarkan itu dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan kepada orang Melayu sahaja.

Beliau berkata, kadar itu tidak termasuk apa-apa struktur atau bangunan yang terletak di atasnya yang akan dinilai secara berasingan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangunan Kampung Baru bukan omong kosong: Menteri

Beli Kampung Baru: 88 peratus pemilik, waris setuju

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!