Iran beri amaran keras
TEHERAN - Ketua Komander Pengawal Revolusi Iran (IRGC) semalam memberi amaran bahawa Teheran tidak akan membenarkan peperangan berlaku di tanah air mereka.
Peringatan keras itu dikeluarkan selepas Amerika Syarikat (AS) mengarahkan pasukan tentera tambahan dikerahkan ke Teluk susulan insiden serangan ke atas kemudahan minyak Arab Saudi pada minggu lalu.
Mejar Jeneral Hossein Salami menegaskan mana-mana negara yang menyerang Iran akan menjadi 'medan peperangan utama'.
"Iran bersedia dalam apa jua situasi. Mana-mana negara mahu tanah air mereka jadi medan perang. Silakan! Kami tidak akan benarkan sebarang perang dilancarkan ke atas wilayah Teheran.
"Kami harap mereka tidak melakukan kesilapan strategik," tegasnya merujuk kepada 'ancaman' ketenteraan yang dibuat Washington ke atas negara itu sebelum ini termasuk kegagalan operasi tentera AS di Gurun Tabas pada April 1980.
Salami bercakap kepada sidang media ketika menunjukkan serpihan beberapa dron termasuk dron AS, RQ-4 Global Hawk yang ditembak jatuh di wilayah negara itu pada Jun lalu.
Ketegangan semakin meningkat antara Teheran dan Washington selepas AS menuduh Iran mendalangi serangan ke atas kemudahan minyak di Abqaiq dan Khurais hingga menjejaskan separuh keluaran minyak.
Pemberontak Houthi pada mulanya turut mengaku bertanggungjawab, namun AS mendakwa bukti yang diperoleh mereka menunjukkan serangan itu dilancarkan dari Iran atau Iraq selain serpihan dron yang ditemukan Saudi mendapati ia milik Iran. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!