Tokan dadah tak serik-serik
SUNGAI BESAR - Seorang tokan dadah yang memiliki lapan rekod narkotik masih tidak serik apabila dicekup sekali lagi dalam serbuan di Hutan Simpan Sungai Karang di sini petang semalam.
Serbuan jam 3 petang itu diketuai Inspektor Muhammad Norizan Ramli bersama anggota 'Task Force' Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek masih bujang berusia 52 tahun itu ditahan ketika sedang berurusan menjual dadah kepada penagih.
"Dalam serbuan itu, polis menjumpai tujuh paket dadah jenis heroin seberat 41.88 gram bernilai RM1,500 dalam beg galas suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.
Nor Azmi berkata, suspek beralamat di Kampung Hala Cara Baru dipercayai mengedar bungkusan dadah jenis heroin dalam paket kecil lut sinar seberat tiga gram.
"Suspek dipercayai menjalankan kegiatan penjualan dadah jenis heroin pada harga RM40 satu gram sekitar kawasan Sungai Besar," katanya.
Beliau berkata, suspek sebelum ini pernah ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas sebanyak tiga kali, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 empat kali dan Seksyen 15 (1) akta dan tahun sama sebanyak sekali.
"Malah suspek juga memiliki satu rekod jenayah mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.
Katanya, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.
"Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Sabtu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!