Gambar 'kahwin' Zahid-Hadi perbuatan biadab, melampau

Shamsul Anuar
Shamsul Anuar
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO menyifatkan tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina yang memaparkan gambar 'perkahwinan' Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang edisi 19 September lalu sebagai perbuatan biadab.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kebebasan bersuara, menulis atau menyuarakan pandangan bukan bermakna kita boleh berkata atau melakukan apa sahaja hingga melampaui batas, apalagi melanggar batas etika kewartawanan.

"Kita minta akhbar ini memohon maaf. Kenapa merasa bimbang atau terancam dengan kerjasama UMNO-Pas. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi. Oleh itu tiada kesalahan apa yang UMNO-Pas lakukan. Malahan Muafakat Nasional adalah baik untuk pelbagai kaum dalam negara ini.

"Jika akhbar ini tidak bersetuju dengan Muafakat Nasional, itu pendirian masing masing," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, gambar yang dipaparkan itu juga merupakan satu penghinaan kepada kedua-dua buah parti berkenaan.

"Menerbitkan gambar seolah-olah Presiden UMNO dan Presiden Pas melakukan 'perkahwinan sejenis' adalah sangat biadab. Kita minta akhbar ini memohon maaf di atas tindakannya yang melampau batas," katanya.

UMNO-Pas pada 14 September lalu telah memeterai perjanjian kerjasama politik dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional, sempena Himpunan Penyatuan Ummah.

Majlis menandatangani piagam UMNO-Pas telah disempurnakan oleh kedua-dua presiden parti, Ahmad Zahid dan Abdul Hadi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Artikel Berkaitan:

Piagam berkenaan adalah satu dokumen terperinci menggariskan prinsip asas kerjasama, rasional, struktur dan modus operandi kerjasama dirangka menerusi Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal, yang masing-masing dianggotai 11 dan lima pemimpin bagi setiap parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Piagam Muafakat Nasional garis enam hasrat utama

Piagam Muafakat Nasional: Kalau retorik, kenapa pemimpin PH perlu takut?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!