Bayi lelaki 20 bulan maut didera empat rakan ibunya
SEMPORNA - Seorang bayi lelaki berusia 20 bulan maut akibat didera empat rakan ibunya di sebuah rumah di Taman Hatib, Jumaat lalu.
Muhammad Al Suhaimi Alsarif disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang di Hospital Semporna di sini.
Memetik portal Astro Awani, Ketua Polis Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, bayi itu dihantar oleh ibunya yang berusia 23 tahun ke Wad Kecemasan Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Sabarudin lagi, keadaan Muhammad Al Suhaimi amat kritikal dan disahkan meninggal dunia oleh doktor selepas itu.
Melalui maklumat seorang saksi, bayi malang itu dipercayai ditampar, dilempar ke tilam, ditarik sehingga terkena besi katil dan dipijak sehingga membawa kepada kematiannya.
Ekoran kejadian, polis menahan empat remaja perempuan warga asing berumur antara 16 dan 19 tahun pada jam 9.30 malam hari kejadian.
Sabarudin berkata, mangsa berada di bawah penjagaan ibunya dan keempat-empat suspek merupakan rakan ibu bayi itu yang menumpang di rumahnya.
Menurutnya lagi, ketika kejadian mangsa ditinggalkan bersama kesemua suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!