Kebun sayur, nurseri digempur Imigresen
RAWANG - Jabatan Imigresen Selangor menggempur kawasan kebun sayur di Bukit Beruntung, di sini dan pusat penanaman rumput dan nurseri pokok bunga di Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh menerusi Operasi Bersepadu pagi tadi.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi bertindak hasil maklumat dan risikan itu dijalankan bermula jam 7 pagi.
Menurutnya, operasi selama lima jam itu dengan kerjasama Jabatan Imigresen Putrajaya dan Kuala Lumpur, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Selangor berjaya memberkas seramai 48 pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Operasi lokasi pertama tertumpu di kawasan kebun sayur di Bukit Beruntung, Rawang, dan serbuan telah menahan 26 PATI.
"Manakala di lokasi kedua di tanah Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh yang dijadikan pusat penanaman rumput dan nurseri pokok bunga berjaya menahan seramai 22 orang PATI," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Shukri berkata, berdasarkan jumlah pecahan tangkapan, warga Bangladesh seramai 24 orang, 19 warga Indonesia termasuk tiga kanak-kanak, Myanmar (4) dan seorang Nepal.
Katanya, kesemua yang ditahan berusia 2 hingga 50 tahun.
Beliau memberitahu, semasa serbuan terdapat segelintir PATI cuba melarikan diri dan bersembunyi di kawasan belukar namun gagal kerana anggota serbuan telah berjaya mengesan tempat persembunyian mereka.
"Terdapat juga di antara mereka sedang nyenyak tidur tanpa menyedari Kehadiran pasukan operasi disebabkan serbuan dilakukan awal pagi.
"Siasatan juga akan tertumpu untuk mengesan majikan asal PATI tersebut dan sekiranya terdapat bukti, majikan ini juga akan turut dikenakan tindakan undang-undang yang sedang berkuatkuasa," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!