Jerebu: Waspada lakukan aktiviti air

A
A
A

LANGKAWI - Pengunjung dan operator sukan air di pulau ini khususnya di pantai tarikan pelancong diminta berwaspada bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berikutan keadaan berjerebu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan keadaan sekitar pantai selamat untuk sebarang aktiviti sukan air dalam keadaan berjerebu ketika ini.

"Kita telah maklumkan kepada pengusaha sukan air di sini supaya melihat juga keadaan sekitar pantai ini dari semasa ke semasa sebelum menjalankan sebarang aktiviti.

“Anggota APM yang berada Menara Penyelamat Pantai juga akan memastikan keselamatan pengunjung yang melakukan aktiviti di air dan memberi nasihat sekiranya keadaan jerebu tidak sesuai untuk sebarang aktiviti," katanya ketika ditemui di Pantai Chenang di sini hari ini.

Langkawi mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 112 setakat jam 5 petang hari ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!