11 warga Indonesia ditahan curi motosikal
PORT DICKSON - Polis menahan 11 lelaki warga Indonesia dipercayai terlibat dengan kes curi motosikal di sekitar daerah ini dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit dekat Tampin-Linggi Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan antara jam 2 hingga 4 pagi itu turut menemui 11 motosikal dipercayai dicuri.
Menurutnya, serbuan dilakukan atas maklumat orang ramai yang membuat aduan terhadap kes kecurian motosikal.
"Dalam serbuan itu pihak polis memberkas 11 lelaki warga Indonesia dan turut merampas 11 motosikal curi.
"Hasil semakan lanjut mendapati motosikal tersebut dilaporkan hilang sebelum ini manakala enjin dan nombor casis telah diubah suai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aidi Sham berkata, hasil soal siasat, kesemua warga asing itu mengaku menggunakan motosikal terbabit untuk kegunaan bekerja di ladang.
Katanya, susulan penahanan kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan 11 kes melibatkan kecurian motosikal di Port Dickson, Seremban dan Segamat, Johor.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!