Kad kebajikan bantu bekas atlet Perak
IPOH - Kerajaan Perak memperkenalkan Kad Kebajikan Bekas Atlet Perak bagi membantu meringankan beban bekas atlet yang berjaya mengharumkan nama negeri.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, pihaknya mendapati masih terdapat bekas atlet yang memerlukan bantuan untuk menjalani kehidupan lebih baik.
“Pemegang kad ini akan menikmati keistimewaan daripada segi perubatan. Malah sejak Mac lalu kita telah memulakan perbincangan dengan beberapa syarikat dan pasar raya yang sedia beri bantuan makanan dan barangan bulanan sama seperti Kad Prihatin.
“Ada syarikat mula menyatakan mahu berikan latihan kepada mereka seterusnya pekerjaan. Semakin banyak kerjasama strategik dilakukan, semakin luas kebajikan boleh disampaikan,” katanya kepada pemberita pada program Sports Executive Talk 2019 di Jabatan Belia dan Sukan di sini hari ini.
Beliau berkata, kerjasama daripada persatuan sukan diperlukan untuk mengumpul jumlah sebenar bekas atlet yang perlu dibantu.
“Kita tiada data menyeluruh mengenai bekas atlet. Jadi kita minta persatuan sukan termasuk di daerah mengenal pasti mereka yang perlu dibantu.
“Pemegang kad ini adalah berdasarkan permohonan dengan beberapa syarat dikenakan antaranya pernah mewakili negeri peringkat Sukan Malaysia (Sukma) dan sebagainya selain menjadi ahli persatuan atau disenaraikan,” katanya.
Pada program itu, Unit Kebajikan Bekas Atlet menyampaikan sumbangan kepada bekas atlet olahraga, Datuk A Victor, 79, yang memenangi 14 pingat emas pada Sukan Sea sejak 1961 serta bekas atlet ragbi, Zainal Abidin Mat Yen, 73, yang dikenali sebagai pakar 'side step' terpantas dunia pada sukan Asia.
Howard Lee juga mengumumkan peruntukan sejumlah RM245,000 kepada 49 persatuan sukan negeri bagi meningkatkan kecekapan pengurusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!