Medan ujian PRK Tanjung Piai
PILIHAN Rakyat Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor yang bakal diadakan dalam masa terdekat mungkin boleh menjadi medan ujian rasmi bagi Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan Pas minggu lalu.
Ikatan perpaduan rasmi dua parti Melayu terbesar itu mendapat liputan yang cukup meluas dan buat pertama kalinya orang Pas dan bendera bulan mereka berada di kubu UMNO iaitu Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Dalam lima PRK lalu, Pas-UMNO telah bekerjasama berdepan dengan Pakatan Harapan (PH) dalam suasana tidak rasmi dan cuma lebih kepada persefahaman luaran.
PRK Parlimen Tanjung Piai bakal menjadi medan pertarungan bagi ‘pasangan pengantin baharu’ yang diikat secara rasmi melalui lafaz janji Piagam Muafakat Nasional untuk berlawan lagi dengan PH.
Kerusi Tanjung Piai sejak Pilihan Raya Umum ke-11 menjadi kubu kuat MCA dan BN sebelum berjaya ditawan calon Bersatu, Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik pada PRU14 lalu.
Pertarungan politik itu pastinya menjanjikan pertembungan yang hebat. BN bertekad mahu merampas kembali kerusi berkenaan dan menebus malu mereka. Bersatu dan PH sudah semestinya cuba mempertahankan kemenangan pada 2018 lalu.
Jika pada PRU14, BN dan Pas terbabit dengan pertembungan tiga penjuru dengan PH di kerusi Parlimen Tanjung Piai, kali ini mereka akan berganding bahu mementang musuh yang sama.
Secara tidak langsung kesepakatan baharu UMNO dan Pas itu sedikit sebanyak akan menggerunkan PH dalam pertandingan di PRK itu nanti.
Apatah lagi majoriti pada PRU14 hanyalah sebanyak 524 undi sahaja yang dimenangi Allahyarham Dr Md Farid. Ia menunjukkan kekuatan PH di Tanjung Piai tidak begitu kukuh.
Pasti pertembungan tiga penjuru pada PRU14 akan bertukar menjadi pertandingan satu lawan satu: BN vs PH dan kelebihan nampaknya memihak kepada BN/Pas.
Namun begitu, itu hanya telahan awal. Keputusan akhirnya tetap terletak pada pilihan politik lebih 45,000 pengundi di Parlimen Tanjung Piai nanti.
Pemilihan calon, percaturan politik dan situasi semasa pasti juga akan mempengaruhi keputusan PRK itu nanti dan cerita Piagam Muafakat Nasional adalah penambah rasa kepada episod baharu!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!