PRK Tanjung Piai: Pas-UMNO perlu lebih realistik tentukan calon

Rusdi
Rusdi
A
A
A

KOTA BHARU - Pas dan UMNO perlu lebih realistik dalam menentukan calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai selain menjadi medan pengukur menguji Muafakat Nasional baharu mereka.

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, 'pasangan pengantin baharu' terbabit wajib membuat percaturan terbaik agar kegembiraan meraikan 'mood berbulan madu' mereka tidak terencat dengan ujian pertama sempena PRK itu.

Rusdi juga membayangkan dengan kenyataan awal BN hari ini yang optimis mahu meletakkan calonnya untuk kembali bertanding di situ memberikan gambaran bahawa Pas perlu mengalah di kerusi pernah ditandingi parti terbabit menerusi MCA.

"Di situ adalah kawasan BN, jadi Pas kena sedar kekuatan mereka di Tanjung Piai. Sudah tentu Pas kena mengalah. Apa-apapun mereka kena bincang perkara ini elok-elok," katanya kepada Sinar Harian.

Memetik kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi parti itu akan merebut semula kerusi tersebut dan yakin 2,900 pengundi Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) memberi sokongan dan mengundi calon yang dipilih BN.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, sekiranya BN meletakkan calon bukan Melayu di situ agak sukar untuk menang kerana majoriti pengundi adalah Melayu.

"Pun begitu BN perlu memujuk ataupun berbincang dengan MCA supaya mereka memberi laluan kepada BN," katanya.

Dalam pada itu katanya PRK kali ini sangat menarik untuk disaksikan kerana selain menguji piagam kedua-dua parti ia turut mengukur kemampuan ataupun kekuatan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan politik semasa.

Artikel Berkaitan:

"Seandainya PH kecundang ia menjadi tamparan hebat terhadap pucuk pimpinan Kerajaan PH Johor dan Kerajaan Pusat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!