Bekas KP SPRM meninggal dunia
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan meninggal dunia di rumah anaknya di Rawang malam tadi.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, jenazah Allahyarham akan disolatkan dan dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan Kota Damansara dekat sini selepas solat Zohor hari ini.
"Sebelum ini Allahyarham dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) beberapa kali akibat komplikasi jantung dan strok sejak enam bulan lalu.
"Minggu lalu doktor di IJN memberi kebenaran kepada Allahyarham untuk pulang ke rumah iaitu rumah anaknya di Rawang.
"Didoakan supaya roh arwah dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh," katanya.
Ahmad Said memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dari 14 Mei 2007 hingga 31 Dis 2009 sebelum digantikan dengan Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!