Piala Malaysia: Dollah mahu anak buah kekal konsisten
MASIH ada satu perlawanan perlu dihadapi Pahang biarpun membawa pulang bekalan selesa selepas menundukkan Melaka United 3-0 pada aksi suku akhir Piala Malaysia di tempat lawan malam tadi, kata Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh.
Beliau turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan yang diraih itu sebaliknya mengekalkan aksi konsisten untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Macam-macam perkara boleh berlaku walaupun kita mendahului dengan kelebihan tiga gol dalam pasukan Pahang sendiri sudah banyak kali terjadi sebab itu kita kena berjaga dan tidak boleh sambil lewa.
“Perkara ini selalu saya tekankan kepada pemain, dalam bola sepak kita tidak boleh selesa dengan keadaan walaupun berada di tahap prestasi terbaik tetapi kita perlu kekalkan tempo dan corak permainan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di sini semalam.
Terdahulu dalam perlawanan yang disaksikan lebih 5,000 penonton di Stadium Hang Jebat itu skuad Tok Gajah berjaya mengalahkan tuan rumah menerusi tiga gol yang dihasilkan dalam masa lima minit di babak masa kedua selepas kedudukan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Pada minit ke-56, pasukan pelawat berjaya meraih gol sulung menerusi Lazarus Kaimbi sebelum Wan Zaharulnizam Wan Zakaria mengukuhkan kedudukan dua minit kemudian dan kelonggaran pertahanan skuad Sang Kancil terus dihukum apabila tiga minit kemudian, Dickson Nwakaeme meledak gol untuk membolehkan Pahang membawa pulang kemenangan selesa.
“Saya telah ingatkan pemain untuk ubah cara mereka walaupun menguasai 60-65 peratus aksi itu kerana jika kita ikut tempo lawan sampai bila mereka tidak boleh menjaringkan gol.
“Selepas rehat kita meningkatkan rentak dan di situ para pemain mengambil kesempatan serta peluang yang ada dengan mempamerkan permainan lebih laju untuk kita memenangi aksi ini,” katanya.
Sementara itu Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata, kekalahan itu akibat kesilapan hilang tumpuan dalam tempoh lima minit yang merubah keputusan pada perlawanan tersebut.
Katanya, namun beliau tetap positif dengan perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur pada 29 September ini dan mereka akan cuba memberikan yang terbaik pada aksi itu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!