Kena hormat perjanjian PH
JOHOR BAHRU - Timbalan Pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse menegaskan pihaknya tidak boleh menerima sebarang penukaran pelan yang dibuat tanpa persetujuan semua komponen dalam PH.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul perwakilan Bersatu yang mahu Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU15 pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, semalam.
"Walaupun itu hak Bersatu, saya rasa kita perlu hormat kepada perjanjian PH yang menjadi asas kepada kemenangan dan juga kepercayaan rakyat pada PRU yang lalu.
"Sebarang penukaran pelan tanpa persetujuan semua komponen parti adalah tidak wajar dan rakyat memang harap Tun Mahathir untuk serah baton kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dijanjikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Jimmy berkata, pihaknya melihat perkara itu sebagai sesuatu yang tidak mustahak kerana tumpuan kini sepatutnya diberikan untuk pembangunan negara yang lebih berstruktur dan mampan.
"Buat masa ini kemantapan suasana politik adalah sangat mustahak, usul sebegini sebenarnya tidak membantu keadaan," katanya.
Sementara itu, Setiausaha DAP negeri, Tan Hong Pin berkata, pihaknya menyerahkan segala keputusan lanjut sekiranya ada perubahan kepada pimpinan parti komponen.
"Kami akur dengan konsensus. Perkara ini merupakan bidang kuasa pimpinan pusat," katanya ringkas.
Sebelum ini, terdapat usul dan desakan dalam kalangan Ahli Bersatu yang mahu pemimpin nombor satu negara itu kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU akan datang.
Bagaimanapun, Dr Mahathir kemudiannya memberi bayangan bahawa cadangan tersebut tidak boleh dilaksanakan kerana objektif yang dimahukan telah tercapai.
Menurutnya, mengikut perjanjian bersama komponen PH, tujuan dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri sementara adalah untuk menyatukan 'musuh lama' dan memastikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh ditumbangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!