Harimau kumbang resahkan penduduk Dungun
DUNGUN – Aduan penduduk mengenai kehilangan haiwan peliharaan mereka seperti kucing dan arnab sejak kebelakangan ini di sekitar Taman Harmoni, Bandar Al Mukhtafi Billah Shah dipercayai ada kaitan dengan kemunculan harimau kumbang.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, beliau percaya haiwan tersebut dimakan oleh harimau kumbang yang sehingga kini belum berjaya ditangkap sejak ia dikesan di taman itu lebih dua minggu lalu.
"Kita pandang serius perkara ini (dan) sama-samalah berdoa supaya haiwan berkenaan tertangkap dan segera dipindahkan ke kawasan lain," katanya bagi mengulas perkembangan semasa mengenai harimau kumbang yang dilaporkan berlegar di taman perumahan berkenaan semenjak dua minggu lalu.
Ghazali berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu telah memasang perangkap bagi menangkap harimau kumbang namun masih gagal meskipun haiwan terbabit ada berkeliaran di sana.
"Dia (harimau) ada bermain di tepi tu (sarang) tapi tidak masuk. Penduduk cerita (memang) harimau ada datang.
"Datang hanya (sekadar) tepi-tepi (sarang) bermain tapi tak masuk," katanya.
Sehubungan itu, beliau turut mengarahkan segala aktiviti pada waktu malam termasuk kelas mengaji di kawasan berkenaan ditangguhkan seketika sehingga haiwan tersebut berjaya ditangkap bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini.
“Kita bimbang dengan ancaman harimau kumbang yang berkeliaran di taman perumahan masih belum tertangkap walau usaha memasang perangkap oleh dan pemantauan dilakukan oleh jabatan perhilitan.
“Jadi kita minta aktiviti waktu malam dihentikan buat sementara waktu,” katanya yang turut bekerjasama dengan Perhilitan memastikan harimau kumbang dapat ditangkap segera.
Media sebelum ini melaporkan kebimbangan penduduk di taman perumahan itu kerana sering melihat harimau kumbang di sekitar rumah mereka sejak dua minggu lalu dan Perhilitan Terengganu bertindak memasang perangkap sejurus aduan dibuat.
Bagaimanapun haiwan itu masih belum berjaya ditangkap dan Perhilitan terus melakukan pemantauan.
ARTIKEL BERKAITAN Harimau kumbang muncul di Dungun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!