Penunjuk perasaan prodemokrasi Hong Kong pijak bendera China

Penunjuk perasaan prodemokrasi Hong Kong memijak bendera China semasa bantahan di bandar Sha Tin semalam. - Foto Agensi
Penunjuk perasaan prodemokrasi Hong Kong memijak bendera China semasa bantahan di bandar Sha Tin semalam. - Foto Agensi
A
A
A

HONG KONG - Penunjuk perasaan prodemokrasi Hong Kong memijak bendera China ketika aksi tunjuk perasaan di bandar Sha Tin semalam.

Malah sebahagian penunjuk perasaan bertindak ganas apabila menyerang stesen kereta api bawah tanah di bandar berkenaan selain merosakkan beberapa kemudahan awam termasuk kamera pengawasan.

Polis yang dikerah ke lokasi kejadian terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan perusuh selain menahan beberapa aktivis.

Tunjuk perasaan di New Town Plaza itu pada mulanya berlangsung aman, namun bertukar ganas apabila perusuh mula menyasarkan beberapa premis pro-China.

Sementara itu, pihak berkuasa terpaksa menutup kawasan komersial dan tumpuan pelancong di Kowloon selepas berlaku konfrontasi antara penunjuk perasaan dengan sebahagian mereka membaling batu ke arah polis.

Hab kewangan Asia itu digegarkan dengan perhimpunan selama 16 minggu berturut-turut yang ada kalanya bertukar ganas.

Protes besar-besaran itu tercetus susulan rang undang-undang yang membenarkan warga Hong Kong diekstradisi ke tanah besar China untuk dibicarakan.

Rang undang-undang tersebut bagaimanapun telah dimansuhkan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!