Jerebu teruk: 37 orang utan kena jangkitan pernafasan atas
JAKARTA - Yayasan Kelangsungan Orangutan Borneo (BOS) Indonesia memantau pusat menyelamat dan perlindungan hidupan liar yang turut berada di kawasan kebakaran.
Pengerusinya, Jamartin Sihite berkata, kebakaran hutan besar-besaran di Indonesia telah menyebabkan jerebu serius dan menjejaskan spesies orang utan serta habitat mereka.
Menurutnya, sehingga kini, terdapat 37 orang utan ditempatkan di pusat tersebut terkena jangkitan pernafasan atas (ISPA) dan daripada jumlah itu, 31 adalah di bawah umur empat tahun.
"Sudah hampir tiga bulan kita terdedah dengan jerebu, jika manusia boleh memakai topeng muka tetapi jika orang utan tidak boleh. Jadi tidak hairanlah kesihatan orang utan terjejas.
"Sebab itu, satu pasukan dari BOS kini meronda dan memantau kemungkinan berlaku risiko kebakaran di kawasan sekitar," katanya.
Bagaimanapun, sehingga kini belum ada usaha pemindahan orang utan dilakukan, namun langkah berjaga-jaga dan sentiasa bersiap sedia memandangkan spesies orang utan itu mempunyai persamaan dengan manusia.
Ditanya apa yang paling diperlukan pasukannya dalam situasi itu, Jamartin memaklumkan, kakitangan memerlukan topeng muka untuk dipakai dalam aktiviti harian.
"Di samping itu, kita juga memerlukan vitamin untuk orang utan, ini juga sama seperti vitamin untuk manusia kerana jika orang utan sihat, mampu bertahan terhadap perubahan iklim dan pengaruh sekitarnya," katanya.
Selain itu, pam air bertekanan tinggi juga diperlukan sebagai persediaan kerana kebakaran melibatkan tanah gambut yang berlaku di bawah tanah.
Yayasan BOS didirikan pada 1991 dan merupakan organisasi untuk pemuliharaan orang utan di Kalimantan dan habitatnya.
Sehingga kini, BOS telah merawat lebih daripada 500 orang orang utan di dua pusat pemulihan dan mempunyai 440 orang pekerja.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!