Tujuh pelajar sekolah rendah maut kelas runtuh di Nairobi

Insiden runtuhan berlaku tidak lama selepas pelajar memasuki kelas.- Foto @teddyeugene/Twitter
Insiden runtuhan berlaku tidak lama selepas pelajar memasuki kelas.- Foto @teddyeugene/Twitter
A
A
A

NAIROBI - Sekurang-kurangnya tujuh pelajar sekolah rendah maut sementara berpuluh lain cedera susulan insiden bangunan kelas runtuh awal pagi ini di Nairobi Kenya.

"Setakat ini kami boleh mengesahkan tujuh kematian dan 57 yang lain berada di hospital," kata jurucakap kerajaan Cyrus Oguna di lokasi kejadian.

Wartawan AFP di lokasi melaporkan, buku dan meja berselerakan dalam runtuhan struktur separa kekal diperbuat daripada konkrit, besi dan kayu itu.

Ia dilaporkan runtuh selepas jam 7 pagi (waktu tempatan) tidak lama selepas pelajar memasuki kelas.

"Tujuh pelajar maut dan beberapa lain cedera dalam insiden kelas runtuh di (Precious) Talent Academy di Dagoretti," tulis pihak St John Ambulance yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat di laman Twitter.

Insiden tersebut turut menarik perhatian ratusan penduduk kawasan miskin di Dagoretti yang mengerumuni lokasi kejadian.

Pengurus sekolah yang mempunyai 800 pelajar itu, Moses Wainaina mendakwa, paip pembetung yang baharu dibina di belakang kelas melemahkan asas bangunan sekali gus menyebabkan runtuhan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!