Maqis rampas produk babi dari China
SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya melumpuhkan cubaan warga tempatan yang dipercayai membawa masuk produk haiwan dari China ke negara ini melalui Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Sabtu lalu.
Pengarah Maqis Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, dalam kejadian jam 6 pagi itu, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 20 kilogram (kg) produk babi, 12kg daging angsa dan 10kg ayam panggang.
"Produk haiwan tersebut diletakkan dalam dua bagasi yang berasingan. Kita telah merampas kesemua produk berkenaan di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA2 untuk dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," katanya melalui kenyataan.
Beliau berkata, arahan larangan membawa masuk dan pengimportan daging babi dan produk babi dari negara yang mengalami wabak penyakit African Swine Fever (ASF) yang dibawa penumpang di laluan udara serta laluan laut telah dikeluarkan.
“Antara produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku, produk babi dalam tin dan produk babi yang diproses seperti sosej dan sebagainya,” katanya.
Tarmisal berkata, rampasan produk babi bertujuan mengekang penularan virus ASF yang akan memberi impak negatif kepada industri dalam negara.
Individu yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) mengikut Seksyen 11(1) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!