Operasi cegah jenayah tahan 108 warga asing
KUALA LUMPUR - Seramai 108 warga asing diberkas dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah pendatang asing tanpa izin (Pati) Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 380 warga asing dan daripada jumlah itu seramai 89 lelaki dan 19 wanita ditahan.
"Seramai 18 warga Afrika turut diberkas selain warga asing yang berasal dari Bangladesh, Myanmar, Pakistan, India, Nepal, Indonesia, China dan Thailand," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 199 pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur terlibat dalam operasi tersebut yang bermula pada jam 9 pagi hingga 7 malam.
"Operasi ini turut dibantu lapan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia serta tiga pegawai dan anggota dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Lokasi operasi pula antaranya Pasar Borong Kuala Lumpur, Masjid Jamek, Jalan Alor Bukit Bintang, Plaza Idaman Setapak dan beberapa lokasi lain sekitar ibu kota," katanya.
Beliau berkata, polis memandang serius isu kebanjiran warga asing terutama warga Afrika yang dipercayai menyumbang ke arah kejadian jenayah di negara ini.
"Operasi seumpama ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga asing," katanya.
Tindakan diambil mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
Individu yang ditahan dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21469999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!