Kondo, apartmen RM300,000 dominasi senarai hartanah tidak terjual
KAJANG - Unit kondominium dan apartmen berharga antara RM200,000 dan RM300,000 mendominasi senarai hartanah tidak terjual di negara ini, terutamanya disumbangkan oleh hartanah di Perak dan Kedah.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah berkata, unit kondominium dan apartmen merangkumi 43 peratus jumlah hartanah tidak terjual di negara ini dengan majoriti hartanah ini dalam jajaran 'mampu milik'.
“Petunjuk hartanah tidak terjual ini adalah penting untuk memastikan bekalan perumahan adalah konsisten dengan permintaan, manakala isu ketidakpadanan dapat diminimumkan.
"Oleh itu, saya menggesa pemaju dan pihak berkuasa yang meluluskan pembangunan projek dan harga jualan mereka untuk memberi tumpuan pada data tidak terjual," katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi pasaran hartanah pada separuh pertama tahun ini di sini hari ini.
Unit hartanah tidak terjual tidak patut dikelirukan dengan stok tidak dijual. Kerajaan telah mendefinisikan unit tidak terjual sebagai hartanah yang telah siap dan diberikan Sijil Layak Menduduki atau Sijil Layak Menduduki Sementara tetapi kekal tidak terjual walaupun telah ditawarkan di pasaran bagi tempoh sekurang-kurangnya sembilan bulan.
Amiruddin menggesa pemaju untuk membina rumah bagi memenuhi permintaan pembeli dari segi jenis hartanah, lokasi dan harga.
Pada separuh pertama tahun ini, sebanyak 23,591 unit kediaman baharu telah dilancarkan, iaitu 49.4 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Perak mencatatkan pelancaran baharu tertinggi dengan 4,557 unit, membabitkan hampir 20 peratus daripada jumlah peringkat kebangsaan, diikuti Johor (4,233 unit), Pulau Pinang (3,216 unit), Kuala Lumpur (2,565 unit), dan Selangor (2,387 unit).
Amiruddin berkata, subsektor kediaman sahaja menyumbang sebanyak 32,810 unit bernilai RM19.76 bilion kepada hartanah yang tidak terjual, manakala unit kedai tidak terjual menyumbang sebanyak 5,760 unit bernilai RM4.98 bilion.
Beliau berkata, agenda utama kerajaan di masa depan adalah untuk menangani keperluan bagi lebih banyak perumahan mampu milik dan mencari penyelesaian yang tepat untuk hartanah yang tidak terjual.
Kerajaan telah mengambil langkah ke arah itu dengan pelancaran Dasar Perumahan Nasional 2.0 dan pengenalan insentif di bawah Kempen Pemilikan Rumah 2019.
Pada majlis itu, Amiruddin juga melancarkan Sistem Siasatan Hartanah Tidak Terjual Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Hartanah Malaysia (UPESM) 2.0, satu sistem yang membolehkan pengguna mendapatkan maklumat mengenai hartanah di negara ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!