Australia kecam video tahanan mata ditutup, kaki dirantai
CANBERRA - Menteri Luar Australia, Marise Payne menyifatkan rakaman ratusan tahanan lelaki di China yang ditutup mata dan kaki mereka dirantai sebagai sangat mengganggu.
Kenyataan Payne dibuat selepas sumber keselamatan Eropah percaya bahawa video itu adalah benar.
"Saya sedar video itu telah dimuat naik secara atas talian. Sebelum ini saya telah membangkitkan kebimbangan Australia mengenai laporan penahanan besar-besaran etnik Uighur dan orang Islam lain di Xinjiang.
"Kami secara konsisten menggesa agar China menghentikan penahanan sewenang-wenangnya. Kami akan terus membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat antarabangsa," tegas Payne.
Difahamkan, rakaman video berkenaan telah diambil dron dan dimuat naik di laman sosial Twitter dan YouTube oleh seorang individu yang menggunakan nama akaun War on Fear Selasa lalu.
Pertubuhan hak asasi manusia menuduh China menahan 1 juta orang yang kebanyakannya etnik Uighur di kem tahanan di wilayah Xinjiang, namun Beijing menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.
Sementara itu, penyelidik di Institut Dasar Strategik Australia, Nathan Ruser percaya video berkenaan dirakamkan sekitar 20 Ogos tahun lalu di Bayingol, Xinjiang. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!