Jarum dalam strawberi, wanita dikejarkan ke hospital
SYDNEY - Selepas insiden jarum ditemui dalam buah-buahan pada tahun lalu di Australia, dua kejadian sama berulang lagi bulan ini, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut media tempatan, jarum ditemui dalam strawberi yang dibeli dari sebuah pasar raya di Melbourne dan dilaporkan kepada pihak berkuasa pada 10 September, namun pada Isnin, satu lagi kes baharu dilaporkan.
Bercakap kepada Radio 3AW, seorang penduduk tempatan, David Chapman berkata, anak perempuannya berusia 30 tahun terpaksa dikejarkan ke hospital selepas memakan strawberi berkenaan.
"(Dia) gigit buah strawberi itu dan terdapat jarum besar melekat padanya. Dia sangat terkejut," katanya.
Menurutnya, selepas anaknya rasa tidak selesa di dalam kerongkong, dia telah membawa anaknya ke hospital dan melakukan ujian sinar-X dan mengesahkan bahawa ia bukan logam tetapi ada sesuatu benda lain di dalam tekak.
Lebih 200 kejadian berlaku pada penghujung 2018, skandal itu menyebabkan sektor strawberi Australia terjejas teruk.
Dianggarkan kerugian bernilai AU$12 juta apabila semua produk itu di seluruh negara ditarik balik.
Petani berharap musim kali ini akan kembali seperti biasa memandangkan pelaku telah didakwa, namun insiden itu kini seolah-olah menjadi ancaman kepada pengguna Australia
Polis sedang menyiasat kejadian itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!