Bayi didera hingga mati kerana tak henti menangis
KOTA KINABALU - Empat remaja perempuan yang mendera seorang bayi lelaki berusia 20 bulan sehingga mati dipercayai berbuat demikian kerana bayi itu tidak berhenti menangis.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, suspek juga didapati seolah-olah menyesali tindakan yang mereka lakukan ketika ditahan di lokap.
“Mereka ketika ini menangis hampir setiap masa di dalam lokap. Kami cuba untuk bercakap dengan mereka.
“Kami percaya tindakan yang mereka lakukan itu kerana bayi itu tidak berhenti menangis,” katanya seperti dilapor The Star Online hari ini.
Suspek berkenaan iaitu tiga warga Filipina dan seorang warga Indonesia, berumur antara 16 dan 19 tahun mendera mangsa ketika bayi tersebut ditinggalkan buat sementara oleh ibunya di sebuah rumah di Taman Hatib Jumaat lalu.
Muhammad Al Suhaimi Alsarif disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang di Hospital Semporna.
Melalui maklumat seorang saksi, bayi malang itu dipercayai ditampar, dilempar ke tilam, ditarik sehingga terkena besi katil dan dipijak sehingga membawa kepada kematiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bayi lelaki 20 bulan maut didera empat rakan ibunya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!