Jerebu: IPU di Kelantan masih tidak sihat
KOTA BHARU - Jerebu di Kelantan masih mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat meskipun bacaannya menunjukkan sedikit penurunan.
Berdasarkan MyIPU, sehingga jam 6 petang hari ini, bacaan di Kota Bharu ialah 116 manakala di Tanah Merah 108.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Hamzah Mohamed berkata, bacaan tersebut terus dijangka akan berubah bermula esok dengan perubahan monsun dalam tempoh terdekat.
"Buat masa ini, kita masih pantau keadaan semasa bacaan IPU dan turut melakukan pemantauan melibatkan punca lain yang menjadi faktor penyumbang kepada jerebu ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut memberi perhatian di kawasan tanah gambut di Bachok bagi memastikan tiada pembakaran terbuka.
Beliau juga turut mengharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam membuat pemantauan terhadap sebarang aktiviti terlibat.
"Jika bacaan terus meningkat, tindakan lanjut akan diambil berpandukan pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan," katanya.
Bagaimanapun, orang ramai tetap dinasihatkan untuk menjaga kesihatan dan menggunakan topeng muka ketika melakukan aktiviti luar.
ARTIKEL BERKAITAN: JPN Kelantan minta ikut SOP jerebu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!