JAS ambil tindakan pembakaran disengajakan di Johan Setia

Pemandangan di sekitar Johan Setia yang terjejas akibat jerebu. -Foto Bernama
Pemandangan di sekitar Johan Setia yang terjejas akibat jerebu. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sengaja melakukan pembakaran bagi tujuan pembersihan kebun di Johan Setia, Klang, Selangor yang menyebabkan keadaan jerebu di kawasan itu menjadi lebih teruk.

JAS dalam satu kenyataan hari ini berkata, perbuatan itu menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan meningkat kepada lebih 200 iaitu sangat tidak sihat sejak jam 2 petang semalam sehingga 3 petang tadi.

"JAS akan mengambil tindakan tegas di atas kejadian kebakaran yang disengajakan ini, dengan membuat siasatan lanjut dan turut mendapatkan bantuan pihak polis," katanya.

Dalam pada itu JAS berkata, secara keseluruhannya kualiti udara dalam negara masih lagi menerima kesan jerebu merentas sempadan, dengan 35 stesen merekodkan bacaan IPU tidak sihat setakat jam 3 petang tadi.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 menunjukkan terdapat penurunan titik panas di Sumatera, Indonesia iaitu daripada 777 kepada 262, manakala di Kalimantan jumlahnya meningkat daripada 363 kepada 487.

Terdapat sembilan titik panas dikesan di dalam negara iaitu di Pahang (empat), Johor (dua), Terengganu (dua) dan Sabah (satu).

ARTIKEL BERKAITAN: Johan Setia catat IPU sangat tidak sihat

JAS dalam pada itu berkata, pihaknya dihujani dengan pelbagai pertanyaan daripada orang awam mengenai isu bacaan IPU yang dikatakan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang awam perlu mengetahui bahawa bacaan jarak ketampakan iaitu jarak penglihatan adalah amat berbeza dengan bacaan IPU yang dipaparkan oleh JAS.

"Jarak ketampakan adalah merupakan pengukuran jarak penglihatan sebenar pada masa tersebut, manakala bacaan IPU adalah berdasarkan kepada cerapan kepekatan habuk halus PM2.5 yang dipuratakan pada 24 jam sebelumnya dan akan dikira sebagai IPU," katanya.

Menurut JAS, bacaan IPU mengambil masa untuk menunjukkan peningkatan bacaan manakala jarak ketampakan boleh dilihat dengan serta merta. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!