Tahun 2019 Terengganu: Bukan ikut cara Yahudi
MARANG - Sambutan tahun baharu anjuran kerajaan negeri bukan untuk menyambut tahun baharu secara khusus atau mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Noor Hamzah berkata, tetapi sambutan itu diadakan atas tujuan pemurniaan dan Islah.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu mengubah sikap dan perangai ummah akhir zaman untuk menyambut awal tahun baharu dengan cara sesuai dengan Islam.
Mohd Nor yang juga merupakan Adun Bukit Payong berkata, apa-apa perayaan yang bukan keagamaan, Islam tidak menghalang untuk kita meraikannya.
"Kita bukan buat sambutan menyerupai kaum kafir tapi mahu membendung umat Islam mengisi malam tahun baharu mengikut cara mereka.
"Sudah menjadi kebiasaan sambutan tahun baharu diisi dengan kelalaian dan kelekaan serta banyak juga yang berunsur maksiat. Corak ini mesti diubah," katanya.
Beliau mengulas program sambutan Tahun Baru 2019 anjuran kerajaan negeri di Stadium Tertutup Gong Badak hari ini dengan beberapa pengisian penting.
Antaranya, pada sebelah pagi dimulakan dengan kayuhan basikal bersama Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokht dan peminat sukan berbasikal.
Petangnya pula diisikan dengan sedikit hiburan yang berkonsep Islam dan kesederhanaan untuk keseronokan anak-anak muda bersama ustaz Muzaini Abdul Rahman dan beberapa selebriti lain.
Pada sebelah malam pula sambutan dimulakan dengan kuliah Maghrib oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, juga solat hajat dan munajat di seluruh masjid dan surau di Terengganu.
Beliau berkata, cara dan sikap mesti dimurnikan dengan keindahan untuk membuktikan ianya dibolehkan Islam, tetapi mesti tepat kaedahnya.
“Itu adalah antara maksud utama kerajaan negeri mahu mengadakan program berkenaan. Cara ini cara kita, bukan sunnah, juga tiada kaitan dengan ibadat khusus agama kita dan juga penganut agama lain.
“Perkara ini sewajarnya tidak menjadi masalah kepada penganut bukan Islam khususnya DAP yang mempertikaian cara dan kehendak kami,” katanya.
Jelasnya, jika penganut Kristian mahu menyambut mengikut cara mereka, ianya bebas dan tiada penghinaan serta kritikan .
"Kami tahu, ada sebahagian mereka bersifat rasis dan cuba memaksa umat Islam berperangai seperti mereka serta asyik mahu mencampuri urusan muslim," katanya.
“Kerajaan negeri juga berhasrat menjadikan hari Jumaat sebagai hari ilmu dan hari Sabtu pula adalah hari untuk keluarga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!