Profesor mafia di universiti
APABILA sebahagian pihak memperjuangkan autonomi universiti dalam erti kata universiti perlu bebas daripada politik supaya kualiti universiti berkembang, pihak ini tidak sedar bahawa falsafah autonomi sebenarnya banyak masalah. Wujudkah autonomi pada hakikatnya? Bagaimana mungkin bebas berautonomi sedangkan manusia sendiri secara fitrahnya adalah haiwan politik (political animal)?
Universiti adalah benda yang tidak bernyawa dan tiada kebebasan memilih. Manusialah yang menggerakkan benda yang bernama universiti ini dan manusialah yang akan memperalatkannya untuk kepentingan tertentu. Contohnya seorang CEO universiti yang memperjuangkan autonomi universiti bebas daripada kontrol politik. Tetapi apa pula pandangan politik CEO sendiri? Adakah dia akan meletakkan universiti atas dasar partinya atau parti pembangkang atau dasar pandangan politik peribadinya?
Universiti adalah dunia mafia ilmu yang bersaing antara satu sama lain. Setiap mafia ilmu mahu menjadi taiko dalam kawasannya. Contohnya bidang agama. Satu mafia ilmu yang bermazhab salafi akan cuba berkonspirasi menjatuhkan satu mafia ilmu yang bermazhab sufi dan sebaliknya dalam kawasan bidang agama. CEO yang condong pada salah satu mazhab ikut turut serta dalam konspirasi menjatuhkan pegawainya sendiri yang bermazhab lain! Konspirasi jatuh-menjatuhkan ini sangat tidak sihat untuk membangunkan kualiti universiti.
Pihak yang berkuasa dan menang akan memperjuangkan autonomi universiti sebab autonomi akan memberinya lebih kuasa untuk menindas mafia yang tidak berkuasa. Wacana kuasa menentukan definisi ilmu dan kebenaran dalam universiti.
"Aku ialah profesor. Kamu tahu apa!" Ayat ini sudah cukup untuk mematahkan segala hujah. Selagi dia ialah profesor, dia layak memberi hukuman ke atas semua bidang! Tambah buruk lagi keadaan ialah dia ialah profesor dan memiliki kuasa pentadbiran yang tinggi. Dia menjadi maharaja ilmu dan universiti menjadi dinasti miliknya! Bagaimanapun, ramai profesor yang ikhlas dalam perjuangan ilmu.
Kementerian sebenarnya perlu menjadi polis kepada universiti. Universiti umpama satu kampung. Bayangkan kampung itu mempunyai ketua kampung. Ketua kampung memperjuangkan autonomi kampungnya daripada Kementerian Dalam Negeri. Maknanya dia mahu kampungnya bebas daripada pemerhatian polis. Bayangkan kalau ketua kampung ialah ketua mafia kongsi gelap di kampung itu. Apa akan jadi kepada penghuni kampung?
Bagaimana kalau menteri pun mafia? Itulah sebab rakyat perlu sedar bahawa undi mereka sangat penting. Parti yang memerintah adalah dipilih oleh rakyat. Maka Menteri Pendidikan ialah wakil rakyat yang mendapat mandat rakyat untuk kontrol universiti.
Maka universiti tidak patut berautonomi mutlak daripada kontrol Kementerian Pendidikan dan hala tuju politik kerajaan baharu. Menteri melihat masalah secara makro dalam konteks negara tetapi seorang CEO universiti hanya melihat masalah dalam skop mikro sekitar menjaga maslahat universitinya sahaja.
Kalau universiti bebas menentukan hala tujunya, bukan sekadar mungkin wujud konflik antara roh universiti dan visi kerajaan tetapi universiti juga terdedah kepada kemungkinan diperalatkan oleh kepentingan peribadi CEO dan juga pasaran ekonomi yang dimonopoli oleh kapitalis-kapitalis.Kita melihat banyak universiti yang kononnya berautonomi tidak tawarkan kursus falsafah dan agama kerana kursus-kursus ini tidak komersial, tidak membawa keuntungan kepada kapitalis-kapitalis. Universiti komersial ini mungkin mendapat ranking yang tinggi tetapi graduan yang dilahirkan hanyalah kuli-kuli bagi kapitalis. Mereka cemerlang tapi tanpa roh.
Dr Maszlee Malik berani membuat langkah berani yang bersejarah dengan menjadi Menteri Pendidikan yang pertama dalam sejarah Malaysia mengemukakan dua subjek baharu yang bernama Falsafah dan Isu Semasa serta Penghayatan Etika dan Peradaban. Setiap graduan di wajibkan untuk mengambilnya. Falsafah adalah penting untuk membudayakan pemikiran kritis dan Etika-Peradaban adalah penting untuk melahirkan pemikiran sivik, manusiawi dan global.
Sejauh mana sebuah universiti benar-benar berautonomi bukan berdasarkan sama ada ia bebas daripada pengaruh politik atau tidak, tetapi berdasarkan pada tahap budaya pemikiran kritis, sivik, global dan manusiawi dalam kalangan warga universiti berkenaan.
Langkah legenda Dr Maszlee ini bakal melahirkan generasi pengundi yang lebih bersifat mencabar informasi-informasi yang diberi oleh parti-parti politik.
*Abdul Naser Tun Rahman ialah Pensyarah Pemikiran Kritis di UIAM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!