Sungai mati angkara sisa industri
GEORGETOWN - Sungai Keluang berdekatan Zon Perindustrian Bayan Lepas di sini antara sungai bandar yang ‘mati’ angkara pencemaran sisa industri dari kawasan kilang dan air kumbahan sejak berbelas tahun lalu.
Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pencemaran di sungai itu kini pada tahap serius sejak pencemaran 13 tahun lalu yang bukan sahaja menyebabkan air sungai berkenaan menjadi hitam dan berlumpur tetapi kelihatan kotor serta jijik.
Menurutnya, pencemaran sisa industri dan air kumbahan menyebabkan sungai tersebut ‘mati’ di bahagian hilir kerana tiada hidupan manakala di permukaannya dipenuhi sampah sarap serta pelbagai bahan buangan yang termendap.
“Pencemaran Sungai Keluang menyebabkan kawasan berkenaan berbau busuk dan meloyakan kerana didapati punca pencemaran di sungai itu dari pembuangan sisa kilang, kediaman penduduk, premis perniagaan, bengkel, najis binatang dan najis manusia,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Katanya, sebagai contoh pada Jun lalu, CAP menerima aduan orang ramai yang terkejut dengan buih putih di sungai tersebut.
“Hasil tinjauan CAP, sisa itu didapati datang dari kawasan perindustrian Bayan Lepas melalui saluran yang terdapat di tempat itu. Lebih membimbangkan, ia terus mengalir ke kawasan jeti nelayan dan laut berdekatan.
“Perbuatan itu bukan sahaja menjejaskan mata pencarian nelayan di kawasan terbabit malah ikan dan kerang yang menjadi sumber pendapatan utama mereka akan mati,” katanya
Sementara itu, menerusi surat maklum balas, Ketua Cawangan JAS Bayan Lepas, Ramli Manap berkata, sisa kumbahan berbuih putih yang mengalir ke sungai berkenaan adalah dari loji kumbahan.
Dalam pada itu, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Masyarakat, Phee Boon Poh ketika dihubungi berkata, dalam mesyuarat 5 Julai lalu, Indah Water Konsortium (IWK) mengesahkan punca buih tersebut disebabkan beberapa faktor antaranya sludge bulking yang tidak termendap ke dasar loji.
Menurutnya, disebabkan perkara itu, ia menyebabkan filamen bakteria terbentuk dan menghasilkan buih.
“Kejadian itu disebabkan kerosakan peralatan pada Pam Return Activated Sludge (RAS). Selain itu, lebihan kapasiti menyebabkan kandungan bahan pencuci tidak terurai dalam efluen.
“Faktor lain adalah kemasukan punca yang tidak dibenarkan ke sistem pembentungan seperti pembuangan bahan larangan secara haram ke sistem pembentungan,” katanya.
Boon Poh berkata, bagi mengatasi masalah buih tersebut, IWK Sdn Bhd akan memasang peralatan antibuih.
“Kerja pemasangan peralatan itu telah selesai pada 15 Julai lalu selain peralatan yang rosak diganti segera dalam tempoh sebulan.
"Selain itu, JAS Pulau Pinang akan terus memantau tindakan IWK Sdn Bhd dan melakukan pensampelan rasmi air kumbahan,” katanya.
Di Pulau Pinang, selain Sungai Keluang, beberapa batang sungai lain seperti Sungai Juru, Sungai Pinang dan Sungai Perai turut dikhuatiri semakin tercemar.
Sungai-sungai tersebut turut disenaraikan dalam 51 sungai tercemar di Malaysia dalam kelas empat dan kelas lima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!