IPOH - [DIKEMASKINI] Perbicaraan kes rogol membabitkan Exco Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong akan bermula pada 11 hingga 15 November ini di Mahkamah Sesyen Ipoh. Keputusan itu dibuat Hakim Norashima Khalid selepas tarikh berkenaan dipersetujui kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan ketika kes itu disebut semula hari ini. Mahkamah diberitahu bahawa pihak pendakwaan akan memanggil 24 saksi termasuk mangsa bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu. Pada 23 Ogos lalu, wakil rakyat DAP itu mengaku tidak bersalah merogol pembantu rumahnya yang juga warga Indonesia. Paul Yong didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam 7 Julai lalu di sebuah bilik di tingkat atas kediamannya di Jalan Desa Meru 2 Taman Desa Meru dekat sini. Beliau didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebat. Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak, Azhar Mokhtar dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman. Manakala tertuduh diwakili Peguam Leong Cheok Keng (ADUN Malim Nawar), RSN Rayer (Ahli Parlimen Jelutong), Ram Karpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) dan Farhan Sapian. Peguam Gabriel Susayan dan K Shalvin turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa, sementara S Selvi sebagai peguam pemerhati Kedutaan Besar Republik Indonesia. Terdahulu pada prosiding itu, Ram Karpal meminta mahkamah menetapkan Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula berikutan pihaknya baru menerima 47 dokumen forensik dan saintifik sebelum prosiding bermula. “Kami baru menerima dokumen forensik dan saintifik dan untuk rekod mahkamah kami telah menulis dua kali berkenaan perkara ini kepada pihak timbalan pendakwa raya. “Kemungkinan besar kami akan mendapatkan pandangan pakar kami sendiri untuk mengkaji dan ia akan mengambil sedikit masa,” katanya. Dalam pada itu, Gabriel ketika mencelah memaklumkan, bahawa pihak keluarga mangsa mengadu kemungkinan terdapat unsur politik di mana mangsa dipergunakan sebagai alat dalam kes itu. Bagaimanapun Ram Karpal mencadangkan agar pihak peguam pemerhati membuat laporan polis jika merasakan terdapat unsur sebegitu. Norashima kemudiannya menetapkan 22 Oktober ini untuk sebutan semula kes. Ketika ditemui di luar mahkamah, Gabriel berkata, pihaknya akan menulis surat kepada kedutaan negara jiran itu untuk menemui mangsa berikutan timbul dakwaan pembantu rumah itu dipergunakan sebagai alat politik. "Kesahihan dan kebenaran sesuatu aligasi itu perlu dikaji dan disiasat, tugas kami adalah melindungi dan menjaga kebajikan mangsa," katanya. Dalam pada itu, wakil Konsulat Kedutaan Indonesia di Malaysia, Sabda Tian berkata, wanita berusia 23 tahun itu sudah pun bertemu dengan ahli keluarganya yang tiba ke negara ini, minggu lalu. Pihaknya memberi perhatian serius terhadap kes itu sebagaimana dilakukan kerajaan Malaysia kerana ia bukan sahaja melibatkan seorang wanita tetapi rakyat negara itu yang bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini. "Kita sudahpun memberi kawalan untuk peguam pemerhati (bertemu dengan mangsa) demi kepentingan mangsa. "Semoga (perbicaraan) memberi yang terbaik kepada mangsa," katanya.ARTIKEL BERKAITAN Saya tidak pernah merogolnya: Paul Yong