Budak 10 tahun nyaris jadi mangsa ular sawa 60kg
KUALA KRAI - Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun nyaris menjadi mangsa ular sawa yang terperangkap dalam kawasan Klinik Desa Kampung Peria di sini semalam.
Ular sawa seberat 60 kilogram dengan panjang empat meter itu gagal keluar dari pagar berkenaan kerana badannya terlalu besar.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Krai, Kapt (PA) Mohd Hanif Omar berkata, ular itu adalah yang paling besar tahun ini.
"Kita menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.48 pagi dan segera bergegas ke kawasan terbabit.
"Difahamkan, ular terbabit ditemui seorang kanak-kanak dan segera memberitahu bapanya yang kemudiannya memaklumkan kepada jururawat bertugas.
"Operasi menangkap ular itu selesai pada jam 9.05 pagi. Kita menasihati penduduk kampung agar lebih peka dengan keadaan sekeliling dan berwaspada dengan haiwan berbisa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!