KDN digesa siasat gambar 'kahwin' Zahid-Hadi di akhbar Cina
KUALA TERENGGANU - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menyiasat sebuah syarikat akhbar berbahasa Cina yang didakwa melakukan penghinaan dengan menyiarkan gambar 'perkahwinan' dua pemimpin Pas dan UMNO dalam keadaan tidak sopan menerusi gambar yang telah disunting.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan akhbar berkenaan menyiarkan gambar mengaibkan itu menunjukkan sikap biadab dan melampau.
"Saya menyeru semua rakyat Malaysia yang berbudi bahasa supaya mengecam penyiaran gambar yang disunting oleh akhbar berbahasa Cina itu.
"Ia adalah penyiaran tidak beretika, melampau dan biadab yang mengguris perasaan umat Islam, Melayu dan tidak baik dalam memupuk keharmonian antara kaum," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Ahmad Amzad berkata, pihaknya kesal dan mengutuk tindakan akhbar itu yang dilihat cuba 'memanaskan' dan menyuburkan kebencian.
"Akhbar diberi permit penerbitan bagi memupuk keharmonian kaum, namun ia memilih untuk 'memanaskan' lagi kebencian dengan penyiaran gambar yang di sunting itu.
"Mereka memilih untuk menyinggung usaha ini dengan menyemai kebencian ketika dua parti terbesar Melayu Islam mengajak perpaduan ummah seluruh rakyat dan disahut parti MCA, MIC, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) serta pelbagai kaum yang cintakan keharmonian, kestabilan dan perpaduan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Gambar 'kahwin' Zahid-Hadi perbuatan biadab, melampau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!