21 terbunuh rusuhan di Papua
JAKARTA - Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera akibat pergolakan baharu di wilayah Papua Indonesia semalam dengan beberapa mangsa mati di bangunan yang dibakar oleh para penunjuk perasaan.
Jurucakap tentera Indonesia di Papua, Eko Daryanto berkata, angka dijangka bertambah kerana masih ramai terperangkap dalam bangunan berkenaan.
"Kebanyakan mereka mati dalam kebakaran. Jumlah kematian boleh bertambah kerana ramai yang dipercayai masih terperangkap dalam kiosk yang dibakar," katanya.
Sementara di Jayapura sekurang-kurangnya tiga orang awam dan seorang anggota tentera maut susulan pertempuran antara pelajar dan pasukan keselamatan.
"Pagi ini empat mayat lagi ditemui di antara serpihan bangunan terbakar termasuk seorang askar menjadikannya 21 orang yang meninggal akibat pertempuran ini, " katanya.
Kira-kira 300 orang ditahan dalam keganasan tersebut.
Protes berlarutan selama dua minggu itu menyaksikan ribuan orang berarak di jalanan sambil melaungkan 'Bebaskan Papua'.
Semalam 16 orang meninggal dunia di bandar Wamena di mana beratus-ratus melakukan tunjuk perasaan dan membakar pejabat kerajaan dan bangunan premis perniagaan.
Protes itu dilaporkan dicetuskan oleh komen rasis yang dibuat oleh seorang guru, tetapi dipertikai pihak polis.
Berikutan itu lapangan terbang di Wamena ditutup semalam dan 20 penerbangan yang dibatalkan akibat rusuhan. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!