Temui ajal akibat mengantuk
GERIK - Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki hilang kawalan dipercayai akibat mengantuk di Kilometer 33 Jalan Gerik-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Kota Tampan pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, Abdul Aziz Norohim, 58, beralamat dari Manong meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menaiki kereta jenis Proton Saga dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Gerik.
Menurutnya, tiba di tempat kejadian, mangsa yang dipercayai dalam keadaan mengantuk memandu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
"Pelanggaran menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi pemandu wanita berusia 27 tahun cedera termasuk patah dua batang gigi," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!