KUALA TERENGGANU- Bapa kepada empat anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan merogol anak sulungnya berusia 12 tahun. Tertuduh berusia 41 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nooriah Osman. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Chabang Tiga, di sini antara jam 3 hingga 4 pagi pada Julai hingga Ogos lalu. Tertuduh yang didakwa mengulangi perbuatan sama di lokasi dan waktu sama pada 17 Ogos lalu boleh dihukum di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad. Mahkamah menetapkan 25 Oktober depan sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan tidak menawarkan sebarang jaminan. Mangsa kini disahkan mengandung tujuh minggu selepas mengalami muntah-muntah ketika sedang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.