Sultan Mizan murka isu bon pinjaman: Bekas CEO 1MDB
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Tuanku Mizan Zainal Abidin yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ketika itu murka dengan isu pinjaman bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang dipohon Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) berjumlah RM5 bilion.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan TIA, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, Sultan Mizan kemudiannya menitahkan terbitan IMTN digantung dan ditangguhkan sehingga syarat-syarat yang tertera dalam resolusi dipatuhi.
"Pada 22 Mei 2009, saya menerima makluman secara mengejut dari Istana Terengganu. Saya dititahkan oleh DYMM Tuanku Mizan untuk hadir ke Istana Terengganu bersama Tan Sri Ismee Ismail (Pengarah TIA) untuk menghadap baginda dengan seberapa segera. Saya telah terus ke Istana Terengganu selepas solat Jumaat.
"Sebaik sahaja sampai di Istana Terengganu, saya dan Ismee dibawa ke bilik mesyuarat, kemudian disusuli oleh DYMM Tuanku Mizan dan YAM Tengku Rahimah (adinda Sultan Mizan).
"Baginda menunjukkan dokumen resolusi yang telah sedia ditandatangani oleh Tengku Rahimah. Seingat saya, Baginda bertitah 'Please sign this resolution, you can read it if you want' (Tolong tandatangan resolusi ini, kamu boleh baca kalau mahu).
"Saya rasa tergamam dan dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dengan intonasi DYMM Tuanku Mizan yang nampak murka. Saya memandang ke arah Ismee dan saya langsung tidak berkata apa-apa cuma tertanya-tanya kenapa DYMM Tuanku murka dan meminta saya menandatangani resolusi itu," katanya semasa membacakan penyataan saksinya setebal 270 muka surat ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama, masuk hari ke-12 hari ini.
Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, beliau dengan segera membaca resolusi itu dan mendapati ia melibatkan isu IMTN yang diarahkan untuk digantung dan terbitan IMTN ditangguhkan sehingga syarat-syarat yang tertera dalam resolusi ini telah dipatuhi.
"Saya terkejut kerana sebelum itu Jho Low memaklumkan kepada saya bahawa DYMM Tuanku Mizan tiada halangan untuk meneruskan terbitan IMTN ini.
"Ini adalah kali pertama saya mendengar daripada pihak DYMM Tuanku Mizan bahawa pihak Terengganu meletakkan syarat terhadap terbitan IMTN kerana sebelum ini, Jho Low sebagai penasihat dan fasilitator kepada DYMM Tuanku Mizan dan Datuk Seri Najib tidak pernah memaklumkan syarat tersebut," katanya sambil menambah beliau dan Ismee menandatangani resolusi tersebut atas titah DYMM Tuanku Mizan.
Menceritakan lebih lanjut, saksi berkata, mereka (saksi dan Ismee) tidak mendapat salinan resolusi tersebut dan terus diminta meninggalkan Istana Terengganu dalam keadaan terkejut.
"Kami tidak diberikan peluang untuk memberikan sebarang penjelasan mahupun status terkini IMTN yang sudah dimeterai melalui perjanjian yang sah.
"Semasa saya di Istana Terengganu pada 22 Mei 2009 bersama Ismee, Tengku Rahimah dan DYMM Sultan Mizan, DYMM Tuanku ada menggunakan frasa 'unsavoury character' (kelakuan buruk) tetapi saya tidak pasti frasa ini merujuk kepada siapa. Saya tidak tahu punca sebenar perbalahan antara stakeholders TIA pada masa itu," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Keterangan saksi mengenai Jho Low khabar angin'
Pada prosiding minggu lepas, saksi kelapan iaitu bekas pegawai khas kepada Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata, Sultan Mizan menganggap ahli perniagaan Jho Low sebagai watak yang tidak menyenangkan kerana tindakan orang dalam buruan itu menyalahgambarkan sultan.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sedang berlangsung. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!