Isu gaji: Kafa mahu pemain, peminat bersabar
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu semua pemain pasukan The Red Warriors (TRW) bertenang walaupun dihimpit kekangan kewangan disebabkan kelewatan pembayaran gaji.
Pengerusi Penajaan Kafa, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, kerjasama semua pihak terutama pemain penting bagi memastikan isu tersebut tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap pengurusan Kafa.
“Saya harap semua pihak termasuk penyokong bekerjasama dan bertenang supaya tidak menimbulkan sebarang persepsi negatif terhadap kami.
“Ia penting bagi menarik lebih banyak penaja untuk bekerjasama dengan TRW selepas ini. Kita sedar dan tidak pernah lepas tangan membabitkan hal hutang serta tunggakan lama. Apa yang penting, beri kami kerjasama dan masa untuk selesaikannya,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Sebelum ini ada di antara pemain TRW didakwa ‘mengamuk’ di laman sosial Instagram selepas Kafa dikatakan masih tidak membuat bayaran gaji yang sepatutnya dijelaskan pada 15 September lalu.
Mengulas lanjut Muzakkir berkata, tugas untuk mendapatkan dana menjadi lebih sukar jika wujud pihak yang masing-masing memperkatakan mengenai perkara negatif tentang Kafa.
“Apabila ada penaja yang berminat, timbul pula cerita dan berita yang kurang menarik diperkatakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Sepatutnya kita boleh elak perkara seperti ini. Jangan keruhkan lagi keadaan. Sebenarnya setiap pihak berperanan dalam menjaga nama baik TRW.
“Kita sedar apa yang sedang berlaku ketika ini. Pihak kami pun sedang giat mencari penaja yang berminat untuk menyertai kami sekali gus membina semula pasukan TRW, tetapi dalam masa sama kami juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk faham dengan baik.
“Kita juga telah terima dana daripada penaja sebelum ini dan sudah pun digunakan untuk menyelesaikan tunggakan serta membabitkan pengurusan dan juga pembayaran gaji pemain skuad belia ketika itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!