Pengetua, pengerusi tahfiz mengaku tak salah pecah amanah
KLANG - Pasangan suami isteri yang merupakan pengetua dan pengerusi maahad di Sungai Udang mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah antara November 2018 hingga Februari lalu di Mahkamah Majistret Klang di sini hari ini.
Pertuduhan itu melibatkan penggunaan wang pelajar untuk melanjutkan pengajian ke Turki berjumlah RM50,600 yang dibacakan di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail dan Roslizi Sulaiman.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Ahmad Shukri Ghazali, 47 dan isterinya, Zunairah Awang, 38, didakwa menyalahgunakan wang pembayaran tujuan pembelajaran dua orang pelajar ke Turki berjumlah RM33,800.
Pasangan terbabit turut didakwa atas pertuduhan sama terhadap seorang lagi mangsa membabitkan kerugian RM16,800.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah bank tempatan sekitar daerah ini antara 26 November 2018 hingga 11 Februari lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Suhaili Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam, Nor Azri Mohd Arif.
Nor Suhaili memohon mahkamah menetapkan jaminan RM19,000 bagi setiap seorang tertuduh dalam kedua-dua pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun Nor Azri, memohon mahkamah mengurangkan jaminan tersebut memandangkan anak guamnya kini tidak mempunyai pendapatan tetap dan terpaksa menyara tujuh orang anak serta ibu mereka.
"Selepas kes ini tular di laman sosial sejak tahun lalu, ramai ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke pusat tahfiz itu sehingga terpaksa ditutup.
"Zunairah juga sedang sarat mengandung tujuh bulan anak kelapan yang akan lahir pada awal November ini," katanya.
Solehah Noratikah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM13,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan kedua-dua mereka perlu melapor diri ke balai polis pada setiap bulan.
Sementara itu, di mahkamah berbeza, Roslizi menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 setiap seorang dan mengarahkan mereka menyerahkan pasport.
Tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen kepada kedua-dua mahkamah ditetapkan pada 16 Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!