Tiada pemutihan kilang sisa plastik haram
KLANG - Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Kerajaan Selangor membuat pemutihan terhadap kilang-kilang sisa plastik import haram melalui program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran merupakan fitnah tidak berasas.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, program berkenaan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kilang-kilang sisa plastik import haram.
Menurutnya, tujuan utama pelaksanaan program tersebut adalah bagi mencegah pencemaran alam sekitar di negeri ini.
"Bagi kilang sisa plastik haram prosedur operasi standard (SOP) sudah ada dan mereka perlu dapatkan kelulusan serta sokongan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlebih dahulu.
"Jika gagal pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan keluarkan lesen kepada mereka," katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran di Selangor di Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini hari ini.
Sze Han berkata, program berlangsung di negeri ini dalam tempoh setahun bermula 1 Oktober sehingga 30 September 2020 bagi membolehkan pemilik berdaftar memulihkan tanah atau membuat permohonan tukar kategori syarat.
Katanya, selepas tempoh berkenaan tamat, mana-mana pemilik tanah yang masih belum menjalani proses pemutihan akan dikenakan notis tunjuk sebab oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) dan tindakan perampasan bakal dilaksanakan selepas itu.
"Program ini mempunyai dua fasa iaitu tempoh pemutihan dan tawaran insentif serta tindakan penguatkuasaan.
"Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh PDT dan PBT seluruh negeri ini," katanya.
Sze Han yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara berkata, pemilik berdaftar dan pengusaha kilang akan mendapat insentif sekiranya membuat permohonan mengikut tempoh masa ditetapkan.
Katanya, sekiranya pemilik berdaftar tidak mampu membayar premium atau premium tambahan secara sekali gus, pihak berkenaan akan diberikan insentif untuk mendapat bayaran nominal sebanyak 10 peratus.
"Namun kaveat pendaftar akan didaftarkan dalam hak milik bagi menghalang pemilik melakukan sebarang transaksi ke atas tanah tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!