Pembatalan mesyuarat agung iktibar buat Amanah: Mohamad Sabu

Mohamad Sabu -Foto Bernama
Mohamad Sabu -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat agung tahunan sebahagian kawasan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dibatalkan dan perlu diadakan semula wajib menjadi iktibar seluruh jentera pentadbiran parti agar tidak lagi berulang pada masa hadapan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, kelemahan itu diakui sendiri setiausaha agung dan pasukan sekretariat parti apabila mereka sedang bertungkus-lumus menyelamatkan parti yang baru menyambut ulang tahun keempat pada 16 September lalu.

Menurutnya, perkara sama pernah menimpa UMNO sehingga diharamkan mahkamah, selain DAP pada tahun 2013 iaitu 48 jam sebelum penamaan calon sehingga hampir-hampir menggunakan simbol Pas untuk bertanding Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14.

"Amanah mengalu-alukan ketegasan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan mengakui kelemahan di pihak kita.

"Pada masa sama, Amanah sedang giat membaiki kelemahan berlaku dengan ketika ini sedang rancak berlangsungnya mesyuarat semula Amanah di semua peringkat berkaitan," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad berkata, pihaknya turut meminta seluruh ahli Amanah agar terus berusaha dan mematuhi segala arahan terbaharu dikeluarkan sekretariat parti bagi memastikan kelangsungan parti terus selamat.

Menurutnya, pihaknya mengakui Amanah menerima penyertaan ahli baharu yang ramai sehingga banyak cawangan tumbuh di seluruh negara.

"Namun begitu, pengurusan parti di semua peringkat jua perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

"Jangan kita beralasan seperti Pak Pandir bahawa 'bukan anak kita sahaja yang mati, anak orang lain pun mati juga' dengan mengatakan bukan Amanah sahaja ditimpa kesilapan tetapi juga parti besar lain," katanya.

Mohamad berkata, adalah lebih penting Amanah mengambil iktibar dan berazam memperbaiki keadaan khususnya dalam bidang pentadbiran dan pengurusan organisasi agar parti itu terus menjadi sebuah parti kemas dan teratur dalam urusan organisasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!