KPKT komited laksana pembaharuan demi Malaysia

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Sepanjang 2018, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah pimpinan PH telah menggariskan pelbagai inisiatif, polisi dan peraturan baharu dalam perkhidmatannya.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, perancangan itu dijangka akan memberi kesan positif kepada segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

“Antaranya adalah Dasar Komuniti Negara yang mana akan memberikan satu garis panduan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam pembangunan komuniti yang dapat mewujudkan masyarakat dan generasi mampan.

“Perkara lain yang juga sedang diberikan fokus utama oleh KPKT kini adalah perumahan mampu milik untuk rakyat dan penyelesaian permasalahan perumahan yang lebih efektif.

“Ia akan digerakkan melalui pelaksanaan Dasar Perumahan Negara 2.0 dan Dasar Perumahan Mampu Milik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, banyak perkara perlu dilakukan dalam usaha memulihkan kembali negara terutamanya dalam sektor ekonomi, sosial dan pembangunan komuniti secara keseluruhannya.

“Kerajaan PH amat mengalu-alukan kritikan membina daripada rakyat Malaysia.

“Dalam mewujudkan negara yang lebih inklusif, setiap cadangan atau teguran rakyat perlu diambil peduli dalam merencana pembangunan masa hadapan negara.

Artikel Berkaitan:

“Semoga tahun 2019 yang bakal menjelma ini membawa rahmat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Zuraida turut mendoakan agar Malaysia akan lebih maju, berdaya saing, aman dan makmur dengan seluruh rakyatnya bersatu hati dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang.

“Semoga Tuhan Yang Maha Esa memelihara dan memberkati Malaysia. Selamat Tahun Baru 2019,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!