Terima kasih Liverpool: Klopp
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp menganggap anugerah Jurulatih Lelaki Terbaik FIFA 2019 yang dimenanginya sebagai satu pencapaian luar biasa sepanjang berkecimpung dalam dunia kejurulatihan.
Pemilihan Klopp itu dianggap tepat bersandarkan kejayaannya memacu Liverpool menjuarai trofi Liga Juara-Juara musim lalu. The Reds turut muncul naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan merekodkan 97 mata - catatan mata terkumpul ketiga terbanyak dalam sejarah pertandingan itu.
Klopp dicalonkan bagi anugerah terulung FIFA yang diperkenal sejak tahun 2016 itu bersama dua lagi rakan sejawatannya di England - Pep Guardiola (Manchester City) dan Mauricio Pochettino (Tottenham Hotspur).
"Ia satu pencapaian luar biasa kerana saya tidak menyangka dalam tempoh empat, lima, 10 atau 20 tahun lalu, saya akan berdiri di sini (Milan) untuk menerima anugerah ini.
"Tambahan pula, Pochettino dan Guardiola juga telah menghasilkan impak positif bersama kelab masing-masing. Mereka telah melakukan tugas yang menakjubkan sejak beberapa tahun lalu," kata Klopp.
Pada majlis gilang-gemilang di La Scala Opera House, Milan, awal pagi semalam, Klopp turut berterima kasih kepada pihak pengurusan Liverpool yang sentiasa memberi sokongan padu kepadanya sepanjang berbakti di Anfield.
"Kepada pemilik Liverpool terima kasih, mereka memberi saya barisan pemain yang luar biasa untuk kejayaan ini. Saya juga berterima kasih kepada pasukan yang bekerja keras dan tidak pernah mengalah dalam menghasilkan kejayaan untuk kelab ini.
"Saya bangga menjadi pengurus kepada kelompok pemain luar biasa seperti ini. Biarpun ia pengiktirafan individu tetapi anugerah ini adalah untuk semua di Liverpool," jelasnya.
Anugerah dimenangi Klopp itu adalah gelaran pertamanya dan kedua dimenangi pengurus kelab EPL selepas kali terakhir dimenangi bekas pengendali Leicester City, Claudio Ranieri pada 2016.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!