Jerebu makin berkurangan hari ini
PUTRAJAYA - Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di rangkaian stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) didapati menurun dengan keadaan jerebu berkurang sejak 11 pagi tadi berbanding semalam.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan bahagian barat Sabah.
Bagaimanapun katanya, ramalan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan bahawa fasa monsun peralihan akan bermula hari ini dan keadaan tersebut 'sedikit sebanyak' dapat mengurangkan keadaan jerebu di dalam negara.
JAS berkata pada hari ini, terdapat 15 stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat termasuk Johan Setia, Klang yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat pada 22 September.
JAS berkata, satu mesyuarat bagi penyelarasan penguatkuasaan pembakaran terbuka di Johan Setia diadakan hari ini bagi mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan sedia ada dan meminta bantuan daripada agensi-agensi lain seperti polis untuk membuat tangkapan terhadap pesalah yang sengaja mengadakan pembakaran terbuka di kawasan tersebut.
Katanya, pihaknya telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 23 September, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, mendapati terdapat penurunan titik panas (hotspot) dikesan di Sumatera, Indonesia iaitu daripada 262 kepada 65, manakala titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia meningkat daripada 487 kepada 1,025.
Laporan sama menyebut terdapat 18 titik panas dikesan di dalam negara iaitu di Sarawak (11) dan Sabah (7).
Berdasarkan Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada 23 September, rantau selatan ASEAN, keadaan cuaca kering masih berpanjangan kecuali di beberapa negara yang mengalami hujan di beberapa tempat.
Menurut JAS, asap jerebu dengan kepekatan sederhana hingga tebal dari pulau Sumatera didapati masih berterusan terutamanya di daerah Riau, Jambi, Sumatera selatan dan Sumatera tengah.
"Asap jerebu dari Sumatera ini tidak memberi kesan kepada bahagian pantai barat Semenanjung disebabkan pengaruh angin Timuran,” kata JAS.
Di Kalimantan katanya, titik panas di Kalimantan barat, tengah dan selatan didapati terus memberi kesan kepada kawasan di sekitarnya.
"Asap jerebu merentas sempadan juga didapati mengarah ke Laut Cina Selatan dan barat Sarawak,” kata JAS. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!