Kedutaan minta rakyat Malaysia di Mesir waspada
KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah hari ini meminta warganegara Malaysia di Mesir supaya terus berwaspada dan mengambil perhatian terhadap situasi keselamatan semasa negara itu susulan tunjuk perasaan jalanan Jumaat lepas.
Kedutaan itu dalam satu garis panduan keselamatan yang dikeluarkannya hari ini juga mengingatkan mereka yang berada di Kaherah dan bandar-bandar lain supaya sentiasa mematuhi arahan dan peraturan pihak berkuasa Mesir.
Menurutnya, buat masa ini, keadaan keselamatan di Mesir adalah aman, selamat dan terkawal.
"Warga Malaysia juga dinasihatkan untuk tidak menyertai dan menghampiri sebarang perhimpunan atau berada di kawasan demonstrasi yang dianjurkan mana-mana pihak di Mesir," katanya dalam Garis Panduan Keselamatan Bilangan 3 Tahun 2019 yang dimuat naik dalam laman sosial Twitter kedutaan itu hari ini.
Mereka yang memerlukan sebarang bantuan diminta menghubungi Penasihat Kedutaan (Keselamatan) ACP Roslan Alias di talian +201068841984 atau Setiausaha Pertama (Keselamatan), ASP Ab Azis Hassan di talian +201003593244.
Menurut laporan media antarabangsa, ribuan rakyat Mesir menyertai demonstrasi pada Jumaat dan Sabtu di Kaherah dan beberapa bandar lain di Mesir mendesak peletakan jawatan Presiden Abdel Fath el-Sisi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!