Usaha kesan Moganambal masih dijalankan: PDRM
KUALA LUMPUR - Usaha mencari dan mengesan G Moganambal iaitu isteri kepada seorang daripada tiga lelaki yang ditembak mati polis di Batu Arang, Rawang dekat sini, pada 14 September lepas masih dijalankan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, setakat ini, wanita berusia 35 tahun yang dilaporkan hilang itu belum ditemui.
“Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya ke balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada 18 September lepas, Noor Azam mengesahkan dua daripada tiga individu yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Batu Arang dekat sini merupakan ahli kongsi gelap 08.
Noor Azam turut menafikan dakwaan Moganambal berada dalam kereta Volkswagen Polo dinaiki tiga lelaki yang ditembak mati selepas dikejar polis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!